Maklumat Produk
Description
MAKLUMAT PRODUK
SEKEJAP Laila, tak seperti selalu. Sepuluh minit dah beredar. Boleh jadi lagi sepuluh minit masa tambahan yang Laila perlukan. Dania tersenyum apabila tetamu Laila mula menilik jam di pergelangan tangan. Sebentar tadi sekadar menanti Laila muncul di luar rumah. Bila Laila ambil masa lebih dari sekejap, tetamunya akhirnya ambil tempat di sofa. “I think she’s a bit nervous.” Dania mulakan perbualan. “Freak out.” Sama seperti Dania, dia tersenyum. “You boleh tunggu, kan Iskandar?” Takut-takut Dania nak bertanya. Dia risaukan tetamu ini sudah bosan menunggu. Date yang pertama, Laila dah buat hal. Dia risau lelaki ini serik. “I tunggu dia dah lama, Dania.” Balasan Iskandar terzahir dalam hati. “I pergi tengok dia. Harap dia tak sambung tidur.” Dania berpaling nak meninggalkan ruang tamu. Nak selamatkan Laila supaya tidak melepaskan peluang keemasan ini. Iskandar ini adalah sahabat Nazim. Bukan senang nak nampak lelaki ini berbual atau berdua-duaan dengan perempuan. Laila mungkin pencipta sejarahnya. “Hmm... hai...” Laila akhirnya muncul. Gugup. Langkah Dania ke dapur. Tidak mahu mengganggu pertemuan mereka berdua. “Hai.” Iskandar bangun berdiri. “Maaf. Lama. Tunggu.” Laila berdeham cuba munculkan suara yang tenggelam timbul. “No. No. No.” Bila tuan rumah gugup, Iskandar juga turut sama begitu. “Faster than I thought.” Sambung dia sambil pandang atas bawah penampilan Laila. Kasual sahaja. Baju berkolar turtle neck berwarna putih dan berseluar jean. Rambut panjang diikat tocang dan tiada calitan berwarna di wajah mulusnya melainkan pelembap bibir berwarna natural. Berbeza sekali penampilannya malam tadi dengan pagi ini. Cukup ringkas. Namun mengambil masa cukup lama untuk bersiap. “You look nice.” Laila ketap bibir. Tak tahu nak menerima itu sebagai pujian atau sindiran. Yang pasti penampilan mereka secocok. Si dia dengan t-shirt berkolar dan berseluar jean. Laila tundukkan kepala memandang sekilas penampilannya. Tak sangka nak mencari baju yang sesuai sangat payah pada pagi ini. Nasib baik sepadan. Sama cantik sama kacak. Erk, Laila! Sebaik kepala diangkat, saraf tubuhnya bagai direnjat oleh gelombang elektrik yang sangat laju bila mata bertembung dan bertaut. Hilang pujian, Laila kaget. Renjatan di saraf menyebabkan seluruh sendinya bergegar. Debar semalam belum reda, mata lelaki ini menambahkan lagi skalanya. Bunyi dehaman dari belakang menyedarkan Laila. Dania jadi penyelamat sebelum dia mengalami kekejangan. “Ja... Jaket you.” Sukar Laila nak meredakan rusuh di hatinya. “Thank you.” Iskandar menyambut. Itu motif sebenar Laila pada pagi yang damai ini. Hanya nak menyerahkan jaket yang dipinjam semalam. Mujur Laila turunkan pandangan dan ternampak jaket yang dipegangnya erat. “Dan juga breakfast basket. Laila bangun awal siapkan untuk you, Iskandar.” Dania muncul di antara mereka sambil menjinjit bakul rotan yang disiapkan Laila tadi. Dia dapat agak dalam keadaan gugup begitu, Laila akan lupa. Kemungkinan juga temannya akan menghalau tetamu pulang setelah jaket berpindah tangan. “Oh... Breakfast basket?” Iskandar berkerut dahi. Dia pandang Laila. Dania turut pandang Laila. Dia sangka tetamu ini tahu. Bila dua pasang mata menghala padanya, Laila senyum yang dibuat-buat. Sumpah malu! “I... Hmm... I...” Laila berdeham. “I?” Iskandar menanti. Kurang sabar menanti Laila menghabiskan ayat. “You?” Dania pula mencelah. Lain macam rentak tari Laila. Si antisosial ini. “I... I...” Laila melepaskan nafas berat.Kenapalah peti suaranya tak sync dengan apa yang ada di kepala. “Makan semalam...” Laila berhenti seketika. Nafas tiba-tiba jadi pendek. Dia tercari-cari kata yang mampu mulutnya keluarkan bunyi. “Ya, kita makan semalam.” Iskandar mengagak. Dah macam kelas bina ayat apabila bicara Laila separuh-separuh. “I nak bayar.” Sambil geleng kepala, Laila berjaya sampaikan maksud. “It’s okay. I belanja. Kebab saja pun.” Iskandar tersenyum. Lama betul dia menunggu Laila sampaikan hajat. Semalam taklah teruk sangat. Laila banyak diam ketika makan. Mungkin kelaparan. “Kalau macam tu...” Jemari Laila saling meramas antara satu sama lain. Iskandar kemam bibir. Entah berapa lama dia perlu menanti untuk Laila habiskan ayat seterusnya. Dia tak salahkan Laila. Dia pernah mengalami situasi yang sama. Disebabkan gugup jugalah dia menahan diri untuk berhadapan dengan Laila. “Pagi ni...” Laila telan liur. Apalah nasibnya. Sejak bila dia jadi manusia gagap. Gemuruh yang tak boleh dibawa bincang hingga mulut susah nak bergerak. Agaknya jika gerak lebih, gigi akan bertaburan jatuh. Adakah ini side effect disampuk jaket Iskandar semalam? “…I nak belanja.” Laila telan liur. Leganya dapat habiskan satu ayat. “Kenapa?” Iskandar bagai tak percaya. “Bayar yang semalam.” Sayup sahaja bicara Laila. Payahnya dia nak sampaikan hajat yang suci murni itu. Tak payahlah tanya lagi. Jantung baru sahaja nak berentak normal. “Ooh…” Iskandar terlopong. Seakan-akan tidak percaya. “If you busy, tak apa.” Lancar kali ini. Sumpah dia malu! Nampak sangat dia lepas laku. Iskandar sungging senyum pula. Dah ajak mana boleh tarik diri semula. “Kalau busy tak adalah ke mari. Betul tak, Iskandar?” celah Dania sambil tersenyum. Dia bangga dengan pencapaian dan keberanian si teman yang antisosial ini. “Ada tulis dalam BuJo you? Breakfast with stranger?” Laila kemam bibir. Entah disampuk angin apa, malam tadi dia meminta lelaki ini ke mari pada waktu pagi sebelum mereka berpisah di taman seberang jalan. Kalau semalam Iskandar terus meminta dia pulangkan jaket tak adalah pertemuan pagi ini. Taklah dia diserang sawan gagap. “Stranger with a laser gun. Who needs bullet?” Dania hulur bakul pada Iskandar. Jangan Laila berubah fikiran bila Iskandar sarkastik begitu. Laila, si lurus bendul mengalahkan pembaris kayu. Jangankan dating dengan lelaki, kawan lelaki pun tak ada. Kawan perempuan pula boleh kira dengan jari. “Tell that to your friend.” Balas Iskandar bila bakul makanan bertukar tangan. “Dia tak minum coffee. Tapi I rasa dia mungkin perlukan untuk survive hari ini.” Dania mengerling ke Laila yang tegak berubah menjadi patung. “Noted.” Terangkat kening Iskandar. Apa yang dia tak tahu tentang gadis ini. Botol air jernih sentiasa dibawa ke mana-mana. “One more thing, tengok dulu sebelum makan sandwic. Mungkin dia tertukar mayo dengan mustard. In case you tak suka mustard. She hates it!” “Noted too.” “And go!” Dania menolak bahu Laila. Laila perlukan bantuannya untuk lajukan langkah. “Oh wait, roomie.” Dania hilang di sebalik pintu rumah. Laila berpaling. Apa lagi teman sebiliknya nak buat. Ada-ada saja. “Jangan lupa jaket sendiri. Nanti pi ma pi mai balik dengan jaket stranger lagi.” Sempat Dania mengusik sambil hulurkan jaket kulit Laila. Laila ketap rahang menahan pijar yang menyerbu muka. Nak pandang Iskandar yang tak lekang dengan senyum pun dia tak berani. Ini namanya cari penyakit, Laila!